Peranan pasangan Perdana Menteri Malaysia Pasangan Perdana Menteri Malaysia

Pasangan Perdana Menteri Malaysia bukanlah ahli politik yang dipilih menerusi pilihan raya umum negara Malaysia, ini bermakna beliau tidak mempunyai tugasan rasmi dalam Kabinet, dan tidak ditawarkan gaji bulanan tetap. Walaupun begitu, beliau ada menerima elaun (bebas cukai) sebagai pengiktirafan kepada masa yang diluangkannya dan tenaga yang dicurahkannya sepanjang menjalani kehidupan hariannya sebagai pasangan Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai pasangan Perdana Menteri Malaysia, beliau dijangka menghadiri banyak upacara dan majlis keraian rasmi sama ada mengiringi atau mewakili Perdana Menteri. Sudah menjadi pantang larang terhadap pasangan tersebut, bahawa pasangan tidak seharusnya memegang jawatan berpendapatan dan terlibat dalam perdagangan, perniagaan, dan profesion yang boleh menimbulkan konflik kepentingan ketika berkhidmat sebagai pasangan Perdana Menteri Malaysia.

Mengikut sistem nilai murni Asia, di mana perempuan merupakan cahaya dan tiang rumah tangga, pasangan turut mewakili nilai kekeluargaan dan mempunyai sifat keibuan.

Pasangan Perdana Menteri Malaysia kerap kali menyertai aktiviti kemanusiaan dan kerja-kerja amal kebajikan. Sudah menjadi suatu kebiasaan untuk mana-mana pasangan ketua negara atau kerajaan untuk menyertai aktiviti sedemikian, terutamanya yang tidak menyebabkan perpecahan politik. Malah menjadi kebiasaan juga bagi pasangan Perdana Menteri Malaysia bergiat aktif dalam pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan mengambil pekerja untuk menjalankan aktiviti berkenaan, termasuklah mengambil peranan sebagai Yang di-Pertua kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri Malaysia (BAKTI).